Tuesday, March 12, 2013

Lawatan penandaarasan ke SK Syeksyen 9








SEKOLAH KEBANGSAAN BANDAR MAS
KOTA TINGGI
JBA: 3041


LATIHAN DALAM PERKHIDMATAN
SIRI 4 / 2013


LAPORAN LAWATAN PENANDAARASAN
KE
SEKOLAH KEBANGSAAN SEKSYEN 9
SHAH ALAM
PETALING PERDANA
SELANGOR DARUL EHSAN



PADA
2 MAC 2013
19 RABIUL AKHIR 1434
HARI SABTU
7.00 – 1.00 TENGAH HARI



NAMA: RIZALMAN BIN JOHAR




LAPORAN
LAWATAN PENANDAARASAN
KE SEKOLAH KEBANGSAAN SEKSYEN 9
SHAH ALAM SELANGOR

ANJURAN:
KELAB BILIK GURU
SEKOLAH KEBANGSAAN BANDAR MAS
KOTA TINGGI JOHOR

Pengenalan

        Program lawatan Penanda Aras Ke Sekolah Cemerlang Pusat Sumber Sekolah di Daerah Klang, Selangor merupakan satu program yang dirangka khas untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam pengurusan pendidikan dan membuat penambahbaikan selepas lawatan. Program ini diharap dapat memberikan gambaran positif dan strategik dalam usaha mengembangkan ilmu dan pengalaman para peserta lawatan serta dijadikan sebagai satu proses pembelajaran yang berterusan.

 Objektif

1. Berkongsi pengalaman dan bertukar-tukar pandangan tentang hal-hal berkaitan
    pelaksanaan strategi pendidikan.
2. Meningkatkan mutu kerja dan motivasi diri para peserta lawatan melalui perkongsian
    strategik, pengalaman dan pengurusan organisasi.
3. Melihat pelaksanaan PSS yang boleh dijadikan contoh oleh para peserta lawatan.

Kumpulan Sasaran
Semua guru dan kakitangan sokongan Sekolah Kebangsaan Bandar Mas, Kota Tinggi.

Tajuk Laporan        : Taman j-QAF
Lokasi                       : Sekolah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam, Selangor
Tarikh                        : 2 Mac 2013
Hari                            : Sabtu
Masa                          : 7.00  hingga 1.00 tengahari



Dapatan Lawatan

            Pada 2 Mac 2013 hari Sabtu bersamaan 19 Rabiul Akhir 1434H seramai 32 orang guru dan 3 orang kakitangan sekolah Kebangsaan Bandar Mas telah membuat lawatan penandaarasan ke Sekolah Kebangsaan Seksyen 9,  (SKS9) Shah Alam, Selangor.

            Kami begitu teruja untuk melihat sekolah SKS9 kerana sekolah ini merupakan sekolah yang hebat dan terkenal di Selangor. Sebaik sahaja bas memasuki perkarangan sekolah, jelas tersergam bangunan yang cantik dan gah. Dari jauh tertera perkataan Sekolah Berprestasi Tinggi. Ketibaan kami disambut oleh guru-guru SKS9 dengan sapaan dan senyuman salam perkenalan.

            Sebelum memulakan acara seterusnya terlebih dahulu diadakan sesi bergambar bagi kedua-dua buah sekolah sebagai tanda kenang-kenangan. Kemudian kami dibawa ke bilik jamuan untuk menjamu selera dengan hidangan yang enak. Selesai menikmati jamuan barulah kami dibawa ke Bilik Gerakan untuk sesi perkenalan dan menandatangani memorandum lawatan.
           
            Berdasarkan penerangan Guru Besar SKS9 iaitu Puan Hajah Normah bt Othman Sekolah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam terletak di dalam Bandaraya Shah Alam, ibu negeri Selangor berhampiran dengan Masjid Negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Hotel Concorde. Sekolah ini telah dibuka pada 1 Januari 1998. Walaupun usianya masih muda namun telah banyak kejayaan yang ditempa sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan. Kejayaan yang paling membanggakan adalah meraih tempat ke-16 pencapaian UPSR 2001 di peringkat kebangsaan. Pada tahun 2011 pula SKS9 telah menempa sejarah kegemilangan setelah dianugerahkan status Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

                Selesai penerangan tentang SKS9 oleh Puan Guru Besar, kami didedahkan pula tentang SBT oleh Puan Hajah Rosmiah bt Selamat merangkap Penyelia Petang sekolah tersebut. Kemudian acara diteruskan lagi dengan ucapan salam perkenalan daripada Tuan Guru Besar SKBM, Tn. Hj. Ali bin Md. Sani dan diikuti dengan menandatangani memorandum lawatan oleh kedua-dua guru besar.

            Sebaik sahaja memorandum termentrai, kami telah melawat sekitar kawasan sekolah termasuk melawat ke bilik-bilik tertentu yang terdapat di sekolah ini. Setelah melihat kawasan sekolah saya begitu tertarik dengan Taman j-QAF untuk dibuat laporan dalam program penandaarasan ini.

                Taman j-QAF SKS9 terletak berhampiran dengan kantin sekolah. Saya melihat Taman j-QAF ini amat menarik kerana ia meletakkan banyak kad perkataan dalam Bahasa Arab dan terjemahan dalam Bahasa Melayu menggunakan warna yang pelbagai dan amat ceria. Kad-kad ini juga dilekatkan pada batang-batang pokok dan tulisannya juga besar dan mudah untuk murid-murid membacanya. 

            Walaupun kawasan Taman j-Qaf ini tidak begitu besar namun saya rasa ia banyak memberi faedah kepada murid-murid kerana banyak kad perkataan yang mudah dilekatkan pada batang-batang pokok. Ia juga terletak di laluan yang sentiasa dilalui oleh murid-murid dan ini membuatkan mereka boleh membaca kad-kad yang terlekat di batang-batang pokok setiap hari.

            Setelah melihat keseluruhan Taman j-QAF ini saya amat teruja untuk membuat Taman j-QAF di SKBM sekiranya ada kawasan untuk membuatnya dan saya juga boleh menarik minat murid dalam Pengajaran dan Pembelajaran j-QAF.

            Secara umumnya, saya merasakan lawatan ini sangat berjaya kerana banyak ilmu dan pengalaman yang berharga kepada warga SKBM untuk lebih berusaha dan lebih cemerlang demi kemajuan SK Bandar Mas.
            
























No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
copyright 2010 design by rizalmanjohar.blogspot.com